Ahad, 14 Ogos 2011

UMNO - Lebih memberi masalah dari menyelesaikannya



Proses kemusnahan sesebuah sistem politik negara itu selalunya tidak di sedari oleh mana-mana pemimpin yang tidak memberikan fokus kepada menilai kepimpinan masing-masing. Kehilangan fokus ini selalunya adalah di sebabkan campur aduk politik peribadi dengan di saluti oleh elemen-elemen yang lain seperti keinginan untuk memperkayakan diri dan keluarga dan lebih mementingkan usaha untuk memupuk ‘legendary’ masing-masing.

Di dalam keghairahan untuk mementingkan keuntungan peribadi ini maka segala nilai-nilai murni dalam sesuatu sistem politik itu akan secara beransur-ansur luntur dan akan wujud krisis keyakinan yang merbahayakan negara dan rakyat.

Najib sedang menghadapi masalah yang sama, iaitu masalah mewarisi pusaka kepimpinan yang sudah tersedia lemah dan ternoda. Najib sendiri merupakan seorang ‘untested leader’ kerana beliau naik ketahap tertinggi parti dan negara kerana permainan ‘play save’ dan tidak pernah bertanding di dalam mana-mana jawatan yang beliau pegang. Lagi pun beliau adalah pemimpin yang wujud melalui pengaruh keluarga sebagai anak bekas Perdana Menteri.

Sehingga beliau duduk di kerusi PM ini beliau tidak pernah di cabar dan tercabar dan beliau hanya mendapat segala-galanya melalui pengaruh Tun Razak itu sahaja. Itulah sebabnya beliau hanya menyelesaikan masalah politik negara dengan sentimen tanpa ‘idea’ yang bernas untuk menyelesaikan masalah secara politik yang baik dan ‘conclusive’.

Beliau menyelesaikan masalah dengan membeli sokongan tetapi beliau membelinya dengan premis politik yang salah. Palanivel dilantik menjadi ahli jemaah Kabinet semata-mata kerana hendak memujuk kaum India bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang. Tindakan Najib hanya menumpukan untuk undi pilihanraya tanpa memikirkan consequence yang akan timbul dari tindakan beliau itu.

Najib adalah seorang ‘elected representative’ tetapi beliau di kerumuni oleh ‘rejected representative’.. Dengan perlantikan Palanivel di dalam Kabinet Najib telah menambah seorang lagi Menteri yang mewakili ‘rejected rep’ ini. Sharizat Jalil dilantik di dalam Kabinet walaupun beliau dikalahkan oleh Nurul Izzah Anwar dan Koh Tsu Koon yang tertewas dengan majoriti yang besar di Batu Kawan telah dilantik ke dalam Kabinet.

Melantik Palanivel itu ialah untuk mendapatkan sokongan kaum India yang telah berpecah mengambil tempat di dalam parti-parti lain samada dalam parti Kerajaan atau parti pembangkang. Wakil mereka di Parlimen sudah ramai walaupun kaum India hanya kaum yang kecil di dalam negara ini. Kaum India merupakan kaum yang saya hormati di dalam politik kerana mereka membina kepimpinan mereka di dalam banyak parti.

Tetapi MCA yang sekarang ini masih mempunyai 15 ahli Parlimen tidak pula diwakili dalam Kabinet oleh Presidennya Chua Soi Lek. Raja Nong Chik dan beberapa orang yang lain yang tidak pernah dipilih oleh rakyat dijadikan Menteri Kabinet. Jawatan Menteri itu di jadikan sebagai umpan untuk mendapat sokongan dari pihak dan kumpulan tertentu dan perlantikan mereka bukan di dasarkan kepada kebolehan dan disokong rakyat yang ramai.

Kita sudah tidak terkejut jika ada lagi individu yang di anggap penting untuk menampal yang koyak dan menyambung yang putus akan dilantik menjadi Menteri.

Janji Najib untuk mengecilkan saiz kabinet setelah Pak Lah melantik 32 orang ahli jemaah kabinet dahulu hanya tinggal janji. Akhirnya beliau telah melantik 41 orang ahli kabinet (termasuk duta yang bertaraf Menteri) dan ini merupakan rekod dalam sejarah negara sebagai barisan kabinet yang paling besar. Amerika Syarikat yang merupakan 52 kali ganda besar keluasan negaranya dari Semenanjung Malaysia dan 12 kali ganda jumlah penduduknya hanya mempunyai 21 orang ahli kabinet mereka.Perlu diingat Amerika Syarikat adalah negara demokrasi dan ekonomi terbesar dunia dan negara itu tidak memerlukan 40 orang Jemaah Kabinet.

Sebagai sebuah kerajaan kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang terlalu rendah sahsiahnya. Sahsiah seseorang itu selalunya terbentuk dari didikan yang diterima mereka dari guru-guru dan ibu bapa mereka. Sekarang kita hari-hari mendengar kata-kata yang tidak bermoral dan sahsiah dari penyokong-penyokong kerajaan dengan menggunakan kata-kata kesat apabila ada pihak yang berpandangan politik tidak sehaluan.

Bagi mereka, UMNO sahaja parti yang semua umat mesti sokong. Jika tidak mereka (penyokong UMNO) tidak gemar dengan orang lain mereka akan menggunakan istilah kotor seperti anjing, babi celaka dan sebagainya. Bagi mereka ini tidak mahu mendengar perkara yang tidak sedap. Mereka hanya mahukan pujian dan dukungan tetapi mereka tidak menjaga sahsiah diri dan politik mereka. Kelaukuan mereka memalukan dan diperhatikan oleh rakyat secara terangan.

Kalau dikaji dari sejarah yang lampau jika pihak yang berkuasa dan penyokongnya sudah mengambil jalan singkat untuk menistakan orang lain secara peribadi, selalunya itu merupakan tanda-tanda pemerintah atau ulil amri itu akan tumbang dan dimamah sejarah akhirnya.

Dalam pada parti pemerintah sedang bergelut untuk ‘survival’nya penyokong-penyokongnya pula begitu ghairah memaki hamun dan menghina pihak lain yang juga mempunyai komitmen untuk mencari kebenaran. Masing-masing sekarang sedang dalam proses pencarian dan masing-masing ada hak untuk menentukan sikap dan pendirian masing-masing. Kebenaran kepada kita tidak semestinya benar bagi orang lain.

Sikap ini menjadikan rakyat dan orang ramai menjadi jemu dan bosan dengan maki hamun seperti ini. Mereka tidak dapat menerima hakikat yang mereka sudah tidak lagi menjadi relevan kepada banyak pihak. Orang ramai sudah tidak lagi percaya kepada usaha memomokan pihak lain dengan menghangatkan isu rasis yang akan merbahayakan negara. Anak-anak muda yang berbilang kaum yang sudh mendapat pendedahan kehidupan sudah tidak meminati mana-mana pihak yang memainkan isu perkauman yang menebal.

Kebanyakan dari penyokong pihak parti pemerintah tidak mampu membahaskan isu secara realistik maka mereka memilih untuk memaki hamun sesiapa sahaja yang mereka tidak bersetuju. Mereka seolah-olah memaksa semua orang mengikuti mereka tetapi mereka tidak menunjukan sahsiah yang boleh diikuti. Rakyat mahu hidup aman damai dan tidak mahu mengikut mereka yang mencemuh dan mempunyai mentaliti samseng yang tidak mempunyai sifat malu.

Orang ramai ini bukannya sekumpulan haiwan tambatan yang boleh di arah kehulur kehilir mengikut kehendak nafsu mereka yang sedang kufur dengan nikmati kuasa yang ada di tangan mereka. Pihak yang berkuasa dengan sesedap hati sahaja mencemuh mereka yang berfikir. Mereka tidak sedar yang sesiapa yang mempunyai kemampuan berfikir sudah menganggap UMNO sebagai parti parasit dari sebuah parti perjuangan untuk bangsa dan rakyat negara amnya. Setiap rakyat ada hak untuk menentukan sikap dan perjuangan mereka.

Pucuk pimpinan tetap dengan sikap tidak sensitifnya dan segala perkara yang diragui rakyat tetap di lakukan oleh kerajaan pada hari ini. Mengambil kesempatan di atas kebaikan rakyat selama ini tidak dapat dihentikan oleh pimpinan hari ini. Transaksi MAS dan Air Asia contohnya berlaku dihadapan mata kepala rakyat yang melambangkan betapa tidak kisahnya pucuk pimpinan sehinggakan manipulasi korporat berlaku tanpa malu dan segan dan sesiapa yang memahami isu ini tidak akan dapat mengampunkan pihak yang melakukannya.

Budaya menenggekkan GLCs yang wujudnya di atas matlamat memegang kepenting bagi pihak rakyat telah dimanipulasi oleh pihak tertentu yang dibiarkan sahaja oleh pucuk pimpinan kita. Arahan kerajaan kepada semua GLC untuk menarik balik segala pertuduhan terhadap Tajuddin Ramli merupakan kemuncak kepada ketidak jujuran pihak yang berkuasa.

Jika perkara ini terus juga berlaku ianya memberi makna yang kerajaan yang berjanji untuk mentadbir negara secara transparen adalah satu lagi janji kosong dan ianya membuktikan kepada kita pimpinan kita sudah tidak boleh diyakini samasekali. Segala-gala yang dilakukan tidak menunjukkan sedikit pun nilai amanah seperti yang dijuarai oleh Najib selama ini. Kata-kata yang manis itu sekadar untuk menyedapkan telinga mendengarnya sementara kita sedar yang itu hanyalah menanam tebu di tepi bibir sahaja.

Kalau diselidik dan di kaji serta dibuat penilaian serius, segalanya ini tidak akan ada kesudahannya. Rakyat dan hartanya akan tetap dimanupulasi terus terusan. Hanya membesarakan mereka sahaja yang boleh memberhentikan penyelewengan politik dan ekonomi negara ini.

Kesabaran rakyat sudah tidak terbendung lagi. Segala hijab dan hidayah sudah tertutup rapat. Tidak mungkin lagi kita akan berada di dalam kehidupan bermakna di dalam negara yang amat kita cintai ini. UMNO sudah tidak lagi sebagai parti yang membangunkan bangsanya tetapi hanya tinggal sebagai parti yang hanya memberi masalah bukan sahaja kepada orang Melayu, UMNO dan ahlinya sendiri tetapi kepada bangsa lain dan negara secara keseluruhannya. Segala-gala sudah musnah.
Untuk mengubahnya kita perlu berubah.


Nota: Dari Blog Yob Tualang Sekah yang boleh dibaca disini

Tiada ulasan: